Rompak: tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini, hari ini oleh anggota polis.

KUCHING: Seorang buruh kasar dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana meragut seorang wanita sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian di Jalan Sultan Tengah.

Tertuduh, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Taufik Mohd Yusoff.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meragut seorang wanita berusia 35 tahun di hadapan bangunan Sego, Jalan Sultan Tengah, kira-kira jam 4.30 pagi hingga 6.15 pagi, 21 Jun lepas.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, suami mangsa dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali menyatakan isterinya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di hadapan bangunan Sego, Jalan Sultan Tengah.

Semasa tiba di tempat kejadian, dia melihat isterinya terbaring di atas tanah di tepi parit selepas diragut dari bahagian belakang oleh tertuduh.

Akibat kejadian terbabit, mangsa kehilangan sebuah beg tangan, telefon pintar jenama Samsung dan wang tunai RM100.

Mangsa yang mengalami cedera parah di bahagian perut, pinggang dan kaki kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Suami mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sementara, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini, menyatakan pihaknya telah berjaya menyelesaikan kes susulan pertuduhan yang dibuat ke atas suspek.

“Siasatan telah selesai sepenuhnya dengan tertangkapnya suspek dan Pejabat Peguam Negara telah bersetuju menuduh suspek di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan yang diterima di Balai Polis Gita pada 21 Jun lalu, pasukan khas untuk memburu suspek telah ditubuhkan yang diketuai oleh Inspektor Muhammad Rizal dan lapan anggota.

Katanya pada 28 Jun (selepas tujuh hari kejadian), suspek iaitu lelaki warga tempatan dan memiliki rekod tangkapan lampau di bawak Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan telah berjaya ditangkap dan direman selama tujuh hari sehingga 8 Jun.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak