KUCHING: Kontraktor penyelamat telah dilantik untuk meneruskan kerja-kerja menukar lima bulatan di sepanjang Kuching/Samarahan Expressway menjadi persimpangan lampu isyarat.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah berkata kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh 15 bulan akan datang.

“Kami telah melantik kontraktor baharu. Pegawai telah memberi taklimat kepada kami dan mereka telah melakukan beberapa kerja.

Jurutera kanan JKR, Meehan Jorai menunjukkan pelan kerja-kerja menukar lima bulatan di sepanjang Kuching/Samarahan Expressway menjadi persimpangan lampu isyarat kepada Uggah, sambil disaksikan oleh Richard.

“Melihat kepada rancangan mereka dan rancangan Jabatan Kerja Raya (JKR), kami berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh 15 bulan.

“Saya sendiri akan datang bersama JKR untuk menyelia,” katanya selepas melawat tapak bulatan ketiga bersama Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Chiew Chee Yaw dan Pengarah JKR Sarawak Richard Tajan.

Menurut Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, projek berkenaan telah menjadi kontroversi kerana ia telah ditangguhkan dan menyebabkan kekecewaan bukan sahaja kepada orang ramai tetapi juga kerajaan.

“Sekarang kerajaan memutuskan untuk melantik kontraktor penyelamat jika ada projek sakit supaya siap seperti yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata kajian akan diambil sekiranya terdapat keperluan untuk menukar bulatan lain di sini menjadi persimpangan lampu isyarat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Kita kaji perkara itu kerana laluan trafik kita bukan sahaja di Kuching tetapi di seluruh negeri telah meningkat.

“Semakin ramai yang mampu membeli kereta sendiri sekarang tetapi jalan raya kita dibina 30 atau 40 tahun lalu,” katanya.

Beliau menambah terdapat pelbagai pilihan yang boleh diambil seperti membina jejambat, laluan bawah tanah, memasang lampu isyarat dan lain-lain.

“Pilihan bergantung kepada keadaan di setiap bandar atau kawasan.

“Kami perlu memasukkan apa sahaja pilihan yang diambil dalam perancangan kami untuk masa depan seperti 50 tahun dari sekarang,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak