BINTULU: Seorang pesara guru wanita kerugian RM199,000 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan kiriman bungkusan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit berkata, mangsa yang berusia 63 tahun itu pada awalnya menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai petugas di Ibu Pejabat J&T Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu.

Mangsa katanya, dimaklumkan mempunyai bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan kredit atas nama mangsa  yang sepatutnya dihantar ke syarikat penghantaran kurier terbabit di Kuantan, Pahang tetapi telah ditahan pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Panggilan telefon kemudiannya disambung kepada suspek yang menyamar sebagai anggota polis IPK Sabah bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Mangsa kemudian diminta membuat rayuan dengan pegawai polis terbabit ekoran nama mangsa telah disenarai hitam kerana terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan telah didaftarkan untuk pembekuan akaun di Maybank Kota Kinabalu, Sabah,” katanya.

Menurut Bartholomew lagi, mangsa juga diarahkan untuk membuka akaun baharu di Bank Islam dan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tersebut.

Katanya lagi, mangsa yang mempercayai suspek, menuruti arahan tersebut yang mana mangsa telah mengeluarkan wang simpanan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun baharu itu (Bank Islam).

“Mangsa, seterusnya, mendaftar nombor telefon milik suspek untuk perbankan dalam talian akaun bank yang baharu dibuka itu.

“Mangsa juga memberikan maklumat kad ATM serta nombor CCV kepada suspek sebelum diarahkan untuk menggunting kad ATM milik mangsa,” ujarnya lagi

Tambah beliau lagi, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah menghubungi pihak bank untuk membuat semakan baki dalam akaun bank sebelum dimaklumkan wang berjumlah RM199,000 telah dipindahkan ke dua akaun individu yang tidak dikenali melalui lapan transaksi antara 1 dan 2 Julai lalu.

Dalam pada itu, Bartholomew menasihati orang ramai supaya mengamalkan konsep STAR (Stop,Think,Act and Respond) apabila mengalami situasi yang meragukan.

Malah beliau menasihati orang ramai agar dapat mengawal diri dan tidak mudah panik atau merasa cemas  sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu  tidak dikenali yang mendakwa mereka dari mana-mana jabatan kerajaan, institusi kewangan, syarikat insuran, penghantaran dan sebagainya.

SUPT BARTHOLOMEW UMPIT

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak