
KUCHING: Sebuah pos kawalan antara negeri akan dibina di Lawas bagi menangani kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan.
Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata, terdapat keperluan untuk membina pos tersebut kerana kawasan tersebut menjadi laluan masuk Pati serta aktiviti jenayah rentas sempadan di Sabah dan Sarawak.
Justeru katanya, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kerajaan Sarawak dan ia telah bantuan untuk membina pos tersebut telah dipersetujui oleh kerajaan Sarawak.
“Dengan sokongan padu Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan juga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, sebidang tanah seluas 1.3 hektar telah diserahkan untuk membina pos itu nanti.

“Malah, pos tersebut juga akan dibina atas dana daripada Kerajaan Sarawak,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Ulang Tahun 1 Divisyen Ke-56 di Padang Kawad Rejimen Keempat Kor Armor Diraja (4 KAD), Kem Penrissen, di sini hari ini.
Sehubungan itu Dzulkafli menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kesediaan membantu membina pos tersebut.
Sementara, beliau berkata, empat pos kawalan yang telah dirancang sebelum ini masih dalam proses pembinaan.
Katanya, pos kawalan di Tapak Megah kini berada pada tahap 50 peratus pembinaan manakala pos kawalan di Padang Pan, Sungai Paoh dan Batu Kaya kini dalam peringkat 85 peratus siap.
Jelasnya, anggota akan digerakkan untuk menduduki tiga pos tersebut pada bulan ini apabila ia siap dibina kelak.
