Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kiri) bercakap pada sidang media. Turut kelihatan, Senior Asisten Komisioner Lukas Aket, Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung, Asisten Komisioner Mustapa Kamal Gani Abdullah dan Superintendan Maria Rashid. Foto Ramidi Subari

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak telah menangkap seramai 128 individu daripada 509 siri operasi yang dijalankan sepanjang Januari hingga Jun tahun ini.

Antara operasi dijalankan adalah Op Landai/ Op Kontraban, Op Gelora dan Op Khazanah serta Op Bersepadu bersama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) dan Jabatan Imigresen.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, terdapat penurunan dari jumlah tangkapan berbanding 130 tangkapan dilakukan pada tempoh yang sama tahun lalu.

“Tangkapan dibuat atas pelbagai kesalah di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Senjata 1960, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Akta Bahan Kakisan dan Letupan 1958, Ordinan Perhutanan Sarawak 2015, Kanun Tanah Negeri Sarawak 2015 dan Ordinan Taman Negara 2015.

“Selain itu, sebanyak 924 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Ordinan Sungai Sarawak 1993, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Ordinan Perkapalan Saudagar,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Mengulas lanjut berkaitan Op Kontraban, beliau berkata, PPM Wilayah 5 Sarawak telah mencatat 59 tangkapan dan rampasan berjumlah RM15 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini berbanding 58 tangkapan dan rampasan berjumlah RM70 juta tahun lalu.

Sementara katanya, di bawah Akta Kastam 1967, 15 tangkapan dan rampasan berjumlah RM6 juta dicatat tahun ini berbanding 31 tangkapan dan rampasan bernilai RM64 juta tahun sebelumnya.

Bagi tangkapan dan rampasan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jelasnya, sebanyak 44 tangkapan dan rampasan bernilai RM9.5 juta dicatatkan pada Januari hingga Jun tahun ini berbanding 31 tangkapan dan rampasan bernilai RM6 juta tahun lepas.

Mohd Azman menambah, PPM Wilayah 5 Sarawak turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seperti tragedi bot karam dan banjir dengan sejumlah 16 kes SAR dari Januari hingga Jun tahun ini berbanding 10 kes tahun lepas.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak