BERJAYA…Atlet dan jurulatih Pasukan Berbasikal Sarawak merakamkan gambar kenang-kenangan di pentas Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia 2022 di litar Velodrom Nasional

KUCHING: Pasukan berbasikal Sarawak terus mengukuhkan keyakinan menjelang temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX) di Kuala Lumpur, September ini apabila berjaya meraih podium pada Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia 2022 di litar Velodrom Nasional, Nilai, Ahad lalu.

Kejayaan itu diraih menerusi pelumba Mohd Faris Mohd Nashari yang meraih pingat emas manakala rakan sepasukan, Yohannes Larenza Meahian, meraih pingat perak dalam kategori Lelaki Elit.

Pelumba muda, Haziq Fathuddin Bashir pula berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori Lelaki 13-14 tahun.

Pengurus pasukan berbasikal Sarawak Irawan Sudarsono berkata, pencapaian itu cukup membanggakan khususnya apabila Mohd Faris meraih kemenangan kedua peringkat kebangsaan tahun ini selepas beliay muncul juara acara ‘downhill’ pada Kejohanan Berbasikal Bukit Kebangsaan, Mac lalu.

Menurutnya, pencapaian itu adalah hasil kerja keras pasukan terutamanya pelumba yang memanfaatkan setiap peluang untuk mencapai kejayaan.

“Mereka menunjukkan semangat yang tinggi untuk mara ke final dan akhirnya mereka berjaya membuktikan kemampuan kepada seluruh rakyat Sarawak.

“Kakitangan kejurulatihan yang diketuai oleh Mohd Aim Fauzi dan jurulatih Arianna serta pihak pengurusan amat gembira dan bangga dengan keputusan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Irawan berkata, mereka memang mensasarkan podium dalam kategori lelaki elit pada Kejohanan Kebangsaan BMX Malaysia itu dan kejayaan meraih gelaran juara yang membolehkan pelumba Sarawak disarungkan jersi Malaysia adalah satu bonus.

Sarawak menghantar seramai 11 pelumba untuk menyertai kejohanan itu dengan Mohd Faris dan Yohannes membawa cabaran dalam kategori utama.

Pelumba muda lain ialah Mohammad Khaidir Idzham Abdul Haqq bagi kategori Lelaki 15-16), Haziq Fathuddin Bashir ( Lelaki 13-14), Muhd ​​Amirul Amar Zahdur Rahman (Lelaki 13-14), Muhd ​​Luthfil Hasief Freddie (Lelaki 11-12), Ahmed ‘Atho’Illah Muhd ​​Afif (Lelaki 11-12) dan Danial Rayyan Abdullah Zaiwisman (Lelaki 11-12), Muhd ​​Ashman Shah Muhd ​​Afif (Lelaki 9-10), Ahmed Ali Anees Muhd ​​Afif serta Ahmad Zharif Ahza Ahmad Jumry (Lelaki 7-8).


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak