RAKAM KENANGAN….Miro Simoh (tengah) merakam kenangan bersama barisan pemimpin dan ahli Pergerakan Pemuda PBB. – Photo Abdul Hakeem Well.

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersedia mengemukakan calon baharu daripada sayap tersebut untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketua Pemuda PBB Miro Simuh berkata, ini kerana sayap pemuda PBB mempunyai ramai pemimpin berkaliber dan layak dijadikan sebagai calon.

“Kalau diberi kesempatan oleh pucuk kepimpinan, kita bersedia menampilkan calon baharu yang lebih bertenaga dan muda sebagai calon pada PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa exco Pergerakan Pemuda PBB pertama di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk bertanding di Parlimen Puncak Borneo pada PRU-15 nanti, Adun Serembu terbabit berkata ramai pemimpin lain yang lebih layak untuk menjadi calon di kawasan itu.

“Bagi saya cukup setakat menjadi Adun, tidak perlu tamak sangat. Banyak lagi calon berkaliber dan layak untuk berada di sana,” katanya

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata Pemuda PBB menyokong penuh agar Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dikekalkan sebagai calon di kerusi itu pada PRU-15.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak