KUCHING: Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) akan bertanding di lapan kerusi parlimen majoriti Melayu-Melanau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presidennya Datuk Othman Abdillah berkata, kerusi tersebut merangkumi Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Tanjung Manis, Igan dan Mukah.

“Ini adalah keputusan bersama yang dicapai oleh parti-parti pembangkang negeri ini dalam mesyuarat pada 21 Jun 2022 lalu sebagai permulaan pakatan kerjasama.

Datuk Othman Abdillah

“Keputusan ini adalah untuk Sedar tidak bertanding dengan parti pembangkang yang lain sekali gus memastikan pertembungan satu penjuru di semua 31 kerusi parlimen Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, baki lagi 23 kerusi akan dibahagikan dengan sewajarnya antara empat lagi parti pembangkang tempatan iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), dan Parti Bumi Kenyalang (PBK).

“Pengalaman terdahulu membuktikan bahawa pertembungan berbilang penjuru dan perpecahan undi pembangkang tidak membawa hasil atau keuntungan kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun tiada perbincangan untuk membentuk gabungan dengan setiap parti akan bertanding di bawah logo sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, jentera pilihan raya setiap parti pembangkang terbabit juga berjanji untuk membantu satu sama lain pada pilihan raya kelak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak