RASMI… Datuk Henry Harry Jinep (lima kiri) merasmikan Pub Street@Lobuh Bau, di sini malam tadi.

BAU: Pelancaran Pub Street di Lobuh Bau memberi nafas baharu buat Pekan Bau sekali gus memberi peluang masyarakat setempat dalam menjana pendapatan melalui perniagaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep berkata, pelancaran pasar malam di dataran berkenaan adalah bertepatan kerana ia mewujudkan peluang perniagaan dan aktiviti sosioekonomi di Daerah Bau.

Malah pelancaran itu katanya, menjadikan pekan Bau sebagai pekan yang hidup dengan pelbagai aktiviti diadakan.

“Apabila saya mula menjadi wakil rakyat di Bau, ramai yang datang kepada saya dan berkata bahawa Bau seperti pekan mati kerana tiada aktiviti selepas jam 2 petang.

“Tiada aktiviti bermakna tiada pergerakan manusia dan tiada aktiviti sosial dan perniagaan.

“Hari ini, selepas lima ke enam tahun, kita menjadikan Pekan Bau sebagai pekan yang hidup siang dan malam,” katanya ketika berucap merasmikan Pub Street@Lobuh Bau, di sini malam tadi.

Turut hadir Pegawai Daerah Bau, Anelia Siam dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Bau William Ding.

Henry yang juga Adun Tasik Biru berkata, pekan yang tidak menjalankan sebarang aktiviti sosioekonomi disifatkan sebagai jiwa yang tidak bernyawa.

Justeru katanya, beliau telah memberitahu Pegawai Daerah Bau dan Majlis Daerah Bau untuk mewujudkan pelbagai aktviti dalam membantu merancakkan perniagaan dan aktiviti sosioekonomi di sini.

“Kita tidak mahu jiwa yang tidak bernyawa di Pekan Bau, kita mahu memberi peluang kepada semua orang dalam aktiviti sosioekonomi yang juga menyediakan pekerjaan kepada masyarakat setempat,” ujarnya.

Tambahnya, perhubungan jalan raya ke Bau dari Kuching yang baik ketika ini di samping perkhidmatan dan makanan yang baik dijual oleh peniaga akan menarik minat pengunjung untuk datang ke pekan itu.

Pub Street di Lobuh Bau telah memulakan operasi sejak April lalu dan ketika ini mempunyai 14 gerai yang menjual pelbagai juadah dan minuman.

Datuk Henry Harry Jinep berucap sempena perasmian pelancaran Pub Street@Lobuh Bau, di sini malam tadi.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak