KUCHING: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) (No. 3) berkaitan larangan ahli dewan rakyat bertukar parti, permulaan yang baik ke arah kestabilan politik negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, hari ini juga merupakan tarikh bersejarah kerana buat julung kalinya peruntukan tersebut digubal melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Kejayaan penggubalan RUU ini sehingga diluluskan di Dewan Rakyat merupakan permulaan baik untuk negara.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob dan semua ahli Parlimen yang memberikan sokongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya; Parlimen Malaysia termasuk pemimpin-pemimpin parti politik yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan RUU tersebut.

RUU tersebut diluluskan petang tadi di Dewan Rakyat dengan majoriti undian sebanyak 209 ahli Parlimen yang menyokong, manakala 11 orang tidak hadir.

Sesi perbahasan pula telah dilaksanakan dua hari iaitu Rabu dan Khamis dengan menyaksikan penglibatan seramai 54 orang ahli Parlimen, antara persoalan yang dibahaskan merangkumi tafsiran bertukar parti, pemansuhan Fasal 6 Perkara 48, pemakaian RUU kepada Ahli Parlimen dan Adun serta pengecualian peruntukan.

Sementara, bacaan pertama RUU di Dewan Negara dijangka pada bulan Ogos depan dan sekiranya diluluskan, ia akan diwartakan setelah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak