RAKAM KENANGAN… Stephen Mundaw  (tengah) merakam kenangan bersama veteran-veteran ATM yang hadir di hadapan Tugu Pahlawan di sini, semalam.

KUCHING: Pelbagai aktiviti diadakan sempena Sambutan Hari Pahlawan di Sarawak, hari ini.

Bekas Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata ini termasuklah acara perbarisan yang dijalankan serentak di Kanowit, Lundu, Bau selain majlis sambutan yang dihadiri 300 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dataran Tugu Pahlawan di sini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan aktiviti gotong-royong, melawat veteran yang sakit atau tua dan sebagainya.

“Selain itu, kempen derma darah juga akan diadakan sepanjang Ogos ini dan semalam (Sabtu), sudah dilaksanakan di Miri sementara pada 6 Ogos depan akan diadakan di Kuching,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui hari ini.

Stephen yang juga penasihat Persatuan Veteran Tentera Kor Ranjer (PVTKR) turut menggalakkan orang awam untuk bersama-sama menyertai kempen derma darah yang akan diadakan kelak.

Katanya, pihaknya menyasarkan sekitar 100 hingga 200 veteran dan pengunjung akan menyertai kempen tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata antara teknologi maklumat merupakan antara cabaran utama golongan veteran  masa ini.

“Justeru setiap veteran perlu mengetahui maklumat terkini dan merebut peluang yang ada.

“Kita juga menggalakkan agar golongan veteran menyertai mana-mana persatuan di kawasan masing-masing.

“Ia bertujuan memudahkan kami serta kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada mereka,” ujarnya.

Sementara itu, sebanyak RM30,000 dana telah diperuntukkan Kerajaan Sarawak bagi melancarkan penganjuran Hari Pahlawan yang diadakan serentak di negeri ini.

 

BERCAKAP…Stephen Mundaw bercakap kepada Suara Sarawak ketika ditemui hari ini.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak