KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang dalam proses merangka syarat dan keperluan bagi Ordinan Takrifan (Pindaan), 2022 sebelum dapat dikuatkuasakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia bagi memastikan syarat dan keperluan tersebut munasabah, sesuai, tidak berlebihan dan proses sesuai dengan keperluan semasa.

“Ordinan yang dikenakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu bagi mengiktiraf seseorang (yang merupakan warganegara dan anak kandung daripada kaum pribumi Sarawak) sebagai Bumiputera Sarawak.

“Justeru, bagi menjaga kedudukan dan hak istimewa Bumiputera Sarawak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan perlu memastikan syarat dan keperluan tersebut adalah sesuai, munasabah, praktikal dan yang lebih penting adalah tidak berlebihan dengan syarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan ADUN Ba’ Kelalan Baru Bian mengenai kelewatan kerajaan negeri mewartakan takrifan Bumiputera yang dipinda dalam Ordinan Tafsiran.

Ordinan tersebut diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 15 Februari lalu dan sudah diterbitkan di dalam Sarawak Gazette pada 25 Februari 2022.

Tambahnya, setelah selesai, draf syarat dan keperluan akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan dan dilaksanakan sebelum diwartakan untuk penguatkuasaan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak