Abang Johari menyaksikan pemeteraian MOU antara MEITD dan Melexis Technology di Tessenderlo, Belgium, semalam.

KUCHING: Sarawak bekerjasama dengan pemain global dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) untuk penghasilan cip di negeri ini.

Kerjasama tersebut direalisasikan dengan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama pembekal global penyelesaian semikonduktor mikro-elektronik, Melexis Technology yang berpangkalan di Belgium, pada Selasa.

MOU yang ditandatangani oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dan Melexis Technology itu disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang tiba di Tessenderlo, Belgium pada petang Selasa untuk lawatan kerja selama seminggu ke Eropah dan United Kingdom (UK).

Abang Johari dalam ucapan ringkasnya menyatakan kepercayaan bahawa penghijrahan kepada penggunaan reka bentuk cip akan memenuhi keperluan baharu pasaran sejajar dengan peralihan tenaga, perubahan iklim dan pemansuhan penggunaan enjin pembakaran secara berperingkat bagi kenderaan.

“Oleh itu, kerjasama ini penting dan merupakan satu langkah yang betul ke arah membolehkan kami dan seluruh dunia mendapat manfaat daripada pembangunan reka bentuk cip yang mungkin berasal dari Sarawak pada masa hadapan,” katanya.

Skop MOU itu termasuk kerjasama dalam reka bentuk IC dan pembangunan bakat separa konduktor sebagai sebahagian daripada program inovasi dan pembangunan bakat di negeri ini.

Sebagai pereka cip dan pembekal penyelesaian, Melexis Technology telah menjadi sebahagian daripada faundri cip XFab sedia ada di Zon Perindustrian Bebas Samajaya yang menghasilkan cip untuk digunakan dalam pelbagai aplikasi, termasuk dalam kereta.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Menteri MEITD Datuk Roland Sagah Wee Inn dan timbalannya, Datuk Francis Hardin serta Dr Annuar Rapa’ee.

Seterusnya, Abang Johari dan delegasinya menuju ke Pelabuhan Antwerp-Bruges dengan satu lagi MOU akan ditandatangani bagi cadangan pembangunan pelabuhan baharu di Kuching.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak