RAKAM KENANGAN… Fatimah (tengah) bersama Magdie (enam dari kiri), Rosey (lima dari kiri), Ursula (enam dari kanan), Norjanah (lima dari kanan), Norita (empat kanan) dan ahli kenamaan lain.

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited membantu golongan wanita agar mampu menjana pendapatan sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada orang lain.

Menteri Wanita, Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Kesejahteraan (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pelbagai kemudahan serta latihan pembinaan kapasiti telah disediakan untuk tujuan itu.

Seperti di Wisma Wanita di sini katanya, antara kemudahan yang disediakan adalah kelas jahitan, kelas kecantikan serta kelas spa dan urut.

“Kami berazam supaya golongan wanita tempatan mempunyai ’beg tangan‘ mereka sendiri, jadi mereka tidak perlu bergantung kepada suami mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Wanita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat KPWK sempena kunjungan hormat Presiden Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW), Magdie De Kock bersama-sama delegasi ACWW daripada Brunei, Sabah, Pulau Pinang dan Majlis Dakwah Islam Serantau untuk Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Dalam pada itu kata Fatimah, kementeriannya berhasrat untuk mendekati lebih ramai wanita dan melatih mereka dengan pelbagai kemahiran dalam menjana pendapatan.

“Malah, kami mahu membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi selain melengkapkan mereka dengan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

“Dengan kemahiran ini, golongan wanita boleh menjana pendapatan dan mereka mampu menambah pendapatan tambahan kepada keluarga seterusnya meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya.

 

PENYERAHAN… Fatimah (tengah) menyerahkan cenderahati buku melibatkan kejayaan wanita di Sarawak dalam pelbagai aspek sebagai kenang-kenangan kepada Magdie (kanan). Turut kelihatan, Rosey (kiri).

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak