KUCHING: Sarawak mempelawa pelabur-pelabur asing yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang tenaga hidrogen di negeri ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni berkata, dua syarikat masing-masing dari Korea dan Jepun telah menjalinkan kerjasama dalam bidang tersebut setakat ini.

Malah dalam perancangan katanya, terdapat sebuah lagi syarikat pelabur asing dari Korea turut berhasrat untuk terlibat sama dalam bidang berkenaan.

BERUCAP…Dr Hazland menjawab soalan daripada pemberita. Photo – Mohd Alif Noni

“Hidrogen adalah sumber tenaga masa depan dan Sarawak berada di landasan tepat dalam usaha untuk ke arah tersebut.

“Disebabkan itu, kita mempelawa syarikat-syarikat pelabur asing untuk mewujudkan kilang (hidrogen) di sini, yang akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Persidangan Antarabangsa Mengenai Tenaga Bersih 2022 di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau juga sedia maklum mengenai kegusaran orang ramai terhadap penggunaan sumber tenaga tersebut namun katanya, ia selamat untuk digunakan.

“Apa yang membahayakan sebenarnya adalah bom hidrogen kerana telah bercampur dengan bahan-bahan kimia yang lain dan ia berbeza dengan hidrogen. Maknanya hidrogen adalah selamat,” ujarnya.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak