KUCHING: Peguam Besar Negeri Sarawak boleh mengkaji sama ada terdapat keperluan untuk menggubal atau meminda undang-undang antilompat parti di negeri ini susulan Rang Undang-undang Antilompat Parti diluluskan di Dewan Rakyat.

Ketua whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan Sarawak dari segi undang-undang antilompat parti.

“Bagaimanapun, ia tidak boleh dikuatkuasakan berikutan kes mahkamah di Kelantan sebelum ini yang memutuskan peruntukan undang-undang itu tidak sah kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya itu berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pejabat Sekretariat Jurutera Malaysia (BEM) Sarawak di Wisma Saberkas, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang mencadangkan Sabah dan Sarawak mesti membentangkan undang-undang antilompat parti di peringkat negeri dalam tempoh 60 hari kerana ia tidak terpakai.

Fadillah yang Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) seterusnya berkata, kini berikutan Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai larangan Ahli Parlimen melompat parti, ia boleh dikuatkuasakan di peringkat negeri.

“Tetapi, terpulang kepada Kerajaan Sarawak untuk mengkaji sama ada perlu untuk menggubal peruntukan undang-undang yang sama seperti Kerajaan Persekutuan atau memadai dengan peruntukan sedia yang yang telah digubal sebelum ini.

Mengenai tuntutan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawat jawatan perdana menteri kepada tidak lebih 10 tahun seperti ketetapan yang dimeterai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) sebelum ini, Fadillah berkata, ia perlu diteliti dengan mendapat pandangan pelbagai pihak.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak