Hallman (duduk enam dari kiri) bergambar berkumpulan bersama ahli FMSDC yang terdiri daripada Pengarah Eksekutif Pusat Kemajuan Negeri masing-masing.

KUCHING: Sarawak Skills bertindak selaku tuan rumah bagi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-12 Persekutuan Pusat Pembangunan Kemahiran Malaysia (FMSDC) yang diadakan di Ibu Pejabat Kumpulan Sarawak Skills, bermula Rabu lalu (29 Jun).

Majlis yang berlangsung dua hari itu disertai ahli-ahli kumpulan FMSDC di samping membincangkan beberapa perkara penting termasuk Sesi Perancangan Strategik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Institusi Pembelajaran Kumpulan Sarawak Skills merangkap Pengerusi FMSDC Hallman Sabri berkata, sebanyak 13 Pusat Pembangunan Kemahiran FMSDC termasuk Sarawak Skills telah menyertai mesyuarat secara keseluruhan.

“Ini adalah satu penghormatan bagi kami di Sarawak Skills untuk mengalu-alukan pelbagai pusat pembangunan kemahiran negeri dari seluruh negara.

“FMSDC bekerjasama erat dengan pemegang kepentingan utamanya, iaitu kerajaan persekutuan dan negeri dan pelbagai sektor industri untuk membangunkan kumpulan tenaga mahir Malaysia selaras dengan keperluan industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengenai AGM terbabit, beliau memberitahu antara perkara yang ditekankan adalah situasi perancangan ketika menghadapi pandemik Covid-19 dua tahun lalu yang digambarkan sebagai pelayaran ke perairan yang belum diterokai.

Jelasnya, pengalaman tersebut antara perkara penting sebelum aktiviti manusia telah berubah seperti biasa apabila kehidupan dan perniagaan seperti biasa.

Oleh itu katanya, adalah tepat pada masanya untuk FMSDC, kerajaan pusat dan negeri, serta industri mensinergikan kepakaran dan sumber kolektif dalam usaha memajukan usaha murni pembangunan bakat.

“Sinergi ini juga akan menyokong perkembangan dan trend industri terkini termasuk penerapan teknologi terkini selaras dengan piawaian kelestarian alam sekitar global untuk mengubah operasi dan amalan sedia ada,” ulas beliau.

Turut hadir bersama, Naib Canselor Universiti Kolej i-CATS Profesor Dr Shahren Ahmad Zaidi Adruce.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak