KUCHING: Sarawak United FC (SU FC) komited untuk meraih sebarang mata tatkala turun melayani kunjungan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok.

Ketua jurulatih SU FC, S.Balachandran mengakui meskipun tugas berat menanti pemainnya, namun, peluang kearah itu tetap ada dan apa yang diharapkan adalah komitmen serta semangat juang tinggi daripada pemain sepanjang mengharungi temph 90 minit permainan.

“Kita tahu JDT FC sebuah pasukan yang bagus, mantap di segenap posisi. Reputasi hebat mereka antara pasukan terbaik di Asia ketika ini bukan penanda aras bagi mereka meraih tiga mata mudah.

“Tiada jalan mudah untuk mereka beroleh keputusan positif,” ujar Bala kepada Arena Suara Sarawak.

Bala tetap mengharap kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi tonik tambahan untuk mengubah segalanya.

“Apa yang penting, pemain perlu lebih fokus dan bersedia untuk melalui tekanan yang bakal diberikan harimau selatan itu,” jelas Bala lagi.

Bala turut berharap perlawanan malam esok pentas terbaik untuk pemainnya beroleh pengalaman baharu.

“JDT FC dibarisi ramai pemain  terbaik, dan saya harap pemain kami akan dapat mempelajari sesuatu yang baharu,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak