DALAT: Sepanjang tempoh Pakatan Harapan mentadbir negara, ahli politik mahupun wakil rakyat tidak dibenarkan untuk memasuki kawasan sekolah termasuk dijemput ke majlis rasmi.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, setelah berubahnya pentadbiran negara, wakil rakyat diakui merupakan individu penting bagi institusi sekolah dalam memastikan aspek pendidikan anak bangsa terus terbela.

Beliau percaya aspek sekolah dan wakil rakyat tidak boleh dipisahkan kerana pendidikan adalah medium untuk anak-anak Sarawak mengubah nasib mereka untuk lebih baik pada masa hadapan.

“Setelah sekian lama, kami (ahli politik) tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah… hari ini (semalam), saya dapat menjejak kaki ke SMK Dalat yang sangat dekat di hati saya.

“Alhamdulillah dengan Menteri Pendidikan yang baru di Putrajaya, Pengarah Pelajaran baru di Sarawak telah membuat kunjungan hormat ke pejabat kementerian kita.

Perkara ini telah dijelaskan bahawa sekarang ini ahli politik boleh dijemput untuk ke sekolah untuk acara rasmi.

“Ini adalah satu langkah yang bijak sebab saya tahu setiap wakil rakyat meletakkan hal pendidikan di hati mereka.

Pendidikan anak-anak merupakan perkara penting bagi kami semua ahli politik,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap dalam Majlis Pelancaran Program Teknologi Dron dalam Pemudahcaraan Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Menengah Sarawak di SMK Dalat, baru-baru ini.

Malah sebagai Adun Dalat katanya, beliau komited mahu melihat anak-anak Dalat dapat bergelar siswazah atau lepasan universiti dan akhirnya dapat meneruskan hidup dengan mendapat pekerjaan yang diimpikan dalam mengubah hidup mereka.

“Bagi kawasan Dalat, saya ingin melihat anak-anak kita berjaya dalam pelajaran.

Sebab itu kita mahu setiap isi rumah dalam Dun Dalat mesti mempunyai sekurang kurangnya dapat hasilkan seorang siswazah.

“Dalam usaha ini, kita akan lakukan untuk membolehkan aspirasi kita ini tercapai sebab kita tahu melalui pendidkan kita dapat ubah masa depan seseorang itu, selain mengubah sosio ekonomi seseorang itu,” tegasnya lagi.

ATIMAH ABDULLAH bergambar bersama-sama yang lain pada Majlis Pelancaran Program Teknologi Dron dalam Pemudahcaraan Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Menengah Sarawak di SMK Dalat


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak