BERCAKAP…Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak akan mempertimbangkan usaha mengadakan seminar kesihatan sebelum memulakan program sukan elektronik (e-sukan) pada masa akan datang.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, seminar itu bertujuan memberi kesedaran disiplin dan keseimbangan kehidupan kepada pemain-pemain muda di negeri ini sepanjang membabitkan diri dalam kancah e-sukan.

“E-sukan bukan sahaja memberi pengetahuan tentang permainan berbentuk teknologi digital, tetapi ia turut memberi pendedahan tentang proses pembangunan dalam kehidupan.

“Langkah ini agar mereka (generasi muda) sedar selepas menjangkau usia 40 ke 50 tahun, akan ada benda lain memberi kesan dalam kehidupan mereka dari segi kesihatan, karier, komuniti dan juga keluarga.

“Itulah yang ingin kita sampaikan kepada belia-belia sekarang yang kini hidup pada zaman teknologi digital di samping memperoleh pengetahuan serta kemahiran asas dalam bidang e-sukan ini,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Cabaran E-Sukan 2022 Festival Kuching di Auditorium Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), hari ini.

Dalam masa yang sama beliau mendedahkan warga belia Sarawak antara masyarakat yang tidak ketinggalan untuk terlibat dalam kancah e-sukan.

Katanya ia keranw angka pembabitan golongan belia ini direkodkan mencecah jutaan dalam sukan tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Justeru katanya, adalah penting bagi memastikan belia mampu membangun dalam aspek pelbagai termasuk kemahiran dan pengetahuan kepimpinan sebagai persediaan mereka sebagai wakil generasi yang akan memimpin negeri atau negara pada masa akan datang.

Majlis turut dihadiri Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng dan Presiden Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (SESA), Afiq Fadhli Narawi.

Program Cabaran e-sukan 2022 Festival Kuching anjuran MBKS dan SESA akan berlangsung selama empat hari dengan menyaksikan dua kategori e-sukan dipertandingkan iaitu Mobile Legend Bang Bang pada 30 dan 31 Julai manakala Tekken pada 6 dan 7 Ogos.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak