Bunuh Eric3: Kedua-dua tertuduh (baju putih) dibawa masuk ke Mahkamah, di Kuching, hari ini.

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini, melanjutkan sebutan semula kes bunuh kanak-kanak berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie kepada 9 September depan.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tarikh tersebut untuk kedua-dua tertuduh Wendy Chai Xue Zhen, 37, dan Ling Kok Liang, 51, sementara menunggu laporan kimia yang belum tersedia.

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu pada 31 Mac lepas, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa sengaja membunuh kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie di Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Bintawa, di sini, sekitar jam 5.00 petang, antara 4 Mac dan 7 Mac lepas.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin yang mewakili Timbalan Pendakwa Ray Tan Chuan Yi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut laporan terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata dalam satu sidang media, kes kehilangan kanak-kanak terbabit diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan empat individu telah ditahan untuk siasatan termasuk pasangan penjaga dan ibu bapa kandungnya.

Keempat-empat individu terbabit mempunyai 17 rekod jenayah lampau iaitu 14 berkaitan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial.

Selain itu, sehingga hari ini tiada sebarang penemuan mayat kanak-kanak terbabit selepas dilaporkan hilang lebih empat bulan yang lalu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak