KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) akan mengadakan kaji selidik berhubung permintaan Rumah Spektra Permata (RSP) Lundu II.

Kaji selidik yang akan dijalankan pada 2 hingga 5 Ogos depan itu akan bermula pada jam 9.30 pagi hingga 4 petang di Pejabat Daerah Lundu.

Menurut HDC, ia bertujuan untuk mengukur tahap permintaan masyarakat setempat bagi RSP Lundu II, yang akan dilaksanakan di bawah Projek Sambungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) peruntukan Kerajaan Sarawak.

“Selain bagi mengukur tahap kemampuan penduduk setempat terhadap rumah yang akan dibangunkan oleh HDC berdasarkan harga jualan yang ditetapkan.

“Ia juga perlu untuk mengurangkan risiko rumah tidak terjual. Pada masa yang sama, ia penting bagi merancang dan menentukan jumlah peruntukan keperluan pinjaman perumahan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd,” kata HDC dalam kenyataan, hari ini.

RSP adalah program perumahan di bawah Kerajaan Sarawak untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40) untuk memiliki rumah kediaman.

Program ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah khususnya di luar bandar melalui Skim Penempatan Semula (SPS) Jabatan Tanah dan Survei dan Skim Perluasan Kampung (SPK).


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak