Tertuduh (baju biru) duduk di kerusi luar Mahkamah Sesyen mendengar penerangan daripada pegawai polis selepas sebutan kes hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah memukul abang kandungnya menggunakan batang kayu penyapu hingga menyebabkan kecederaan serius pada bahagian belakang.

Tertuduh , 35, membuat pengakuan itu selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama, kerana sengaja mencederakan abangnya yang berusia 47 tahun di sebuah rumah di Kampung Pejiru, Bau, Jalan Serikin-Bau, sekitar jam 11.30 pagi, 6 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi mengelakkannya melakukan kesalahan berulang terhadap mangsa atau ahli keluarga yang lain.

Selain itu, bagi mengelakkan tertuduh melarikan diri kerana turut dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan di Mahkamah Bau.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 8 Ogos depan.

Difahamkan, semasa kejadian tertuduh di bawah pengaruh alkohol.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak