KUCHING: Adun Pending Violet Yong memberitahu beliau tidak berhasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai calon kerusi Parlimen.

Menurutnya, beliau gembira dengan perkhidmatannya sebagai Adun yang kini sudah memasuki 15 tahun di bawah Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Selama 15 tahun, saya tidak pernah dicalonkan sebagai calon untuk kerusi Parlimen. Malah setakat ini kedua-dua penyandang iaitu Chong Chieng Jen bagi Parlimen Stampin dan Dr Kelvin Yii bagi Bandar Kuching menunjukkan prestasi yang sangat baik,” katanya katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, hari ini.

Sementara mengulas mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti, Violet berkata beliau gembira RUU tersebut diluluskan di Parlimen.

“Ia adalah satu langkah besar ke arah pembangunan demokrasi negara. Ini akan meningkatkan keyakinan pengundi dan menggalakkan mereka untuk keluar mengundi.

“Saya menyokong penuh RUU ini dan berharap Kerajaan Sarawak juga akan memberi persetujuan untuk RUU ini dilaksanakan di negeri ini apabila tiba masanya kelak,” tegasnya.

Suara Sarawak