KUCHING: Seorang wanita maut manakala suaminya dipercayai cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bako di sini pada Isnin malam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Siti Khadijah Sudun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi.

Manakala suaminya Azlan Adi dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 9 malam ketika pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan menghala ke Muara Tebas melalui jalan tersebut.

Mayat mangsa diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut
Motosikal yang dinaiki mangsa terbabas di kanan jalan susulan pelanggaran tersebut

Menurut sumber, ketika melalui jalan tersebut motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki kedua-dua dikatakan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Viva yang diparkir di tepi jalan.

Menurut pemandu yang enggan dikenali itu, semasa kejadian dia berada di dalam kereta tersebut.

Dia memaklumkan tayar keretanya pancit semasa memandu semasa melalui jalan itu dan bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi jalan.

Semasa berada di dalam kereta, dia mendengar bunyi dentuman kuat dari bahagian tepi belakang kenderaannya.

Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua mangsa terpelanting di kanan jalan kira-kira 10 meter dari kenderaan tersebut.

Bagaimanapun pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak