KUCHING: Sejumlah 1,044 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan telah dikemukakan di Sarawak.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, jumlah tersebut diperoleh sejak tahun 2016 hingga Mac tahun ini.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 267 permohonan telah diluluskan dengan 253 lulus untuk tempoh Ogos 2016 hingga Jun 2021.

“Sementara setakat Mac tahun ini, hanya 14 lagi permohonan diluluskan,” katanya.

Beliau berkata dalam kenyataan bagi menjawab pertanyaan mengenai jumlah permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan untuk Sarawak.

Tambahnya, statistik tersebut merupakan data yang disimpan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Setakat Mac 2022, Jawatankuasa Status Kewarganegaraan Peringkat Sarawak menerima sebanyak 75 permohonan dibentangkan dalam mesyuarat.

“Pada tahun 2021 pula, dalam mesyuarat Oktober 2021 sejumlah 145 permohonan dikemukakan, manakala April 2021 menyaksikan 101 permohonan dibentangkan,” jelasnya.

Jawatankuasa tersebut ditubuhkan bagi menyelesaikan isu rakyat tanpa dokumen pengenalan diri di negeri ini.

Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Pengarah JPN Sarawak Abang Noraffian Abang Ibrahim; Pengarah Bahagian Warganegara, Jabatan Pendaftaran Negara Siti Maslinda Mardi, serta urusetia daripada Kementerian Dalam Negeri dan JPN Sarawak.

Suara Sarawak