Uggah dan Fatimah melawat tapak cadangan projek Jalan Kampung Medong Seberang/Kampung Kekan Seberang di Dalat pada Sabtu.

DALAT: Sebanyak 18 kontrak projek pembangunan yang tertangguh di negeri ini telah ditamatkan, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Susulan penamatan kontrak projek sakit ini, beliau berkata pencarian kontraktor baharu dibuka untuk meneruskan 18 projek berkenaan khususnya projek infrastruktur.

Menurutnya, kontraktor yang mendapat tender pembinaan perlu memastikan mereka dapat menyiapkan pembinaan seperti yang telah dijadualkan.

“Kita ada kontraktor yang pandai membida kontrak, tetapi apabila mereka memperoleh kontrak ini, mereka gagal meneruskan projek.

“Ini antara masalah besar yang kita hadapi di negeri ini,” katanya selepas taklimat prestasi pelaksanaan projek kerajaan bagi Bahagian Mukah dalam lawatan kerja sehari di Dalat, hari ini.

Uggah turut diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah diberi taklimat oleh jurutera bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah Abdul Talib Jarni dan pasukannya.

Turut hadir Setiausaha tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) Chiew Chee Yau.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) berkata, JKR dan MIPD mesti mencari cara yang berkesan untuk memulihkan projek yang tertangguh ini.

“Kedua-dua JKR dan MIPD juga mesti tampil dengan pendekatan yang berkesan untuk menyelia semua proses pembinaan dan prestasi kontraktor,” tegasnya.

Menjelas mengenai kontrak membina Kampung Medong/Lebrassau/Kampung Klid sepanjang 11.5 kilometer di sini (Dalat), beliau berkata projek ini juga telah ditamatkan.

“Kontrak bernilai RM44.4 juta yang diberikan pada April 2020 dan dijadualkan siap menjelang Oktober ini mengalami kelewatan sebanyak 550 hari.

“Justeru, rancangan kami adalah untuk membentangkan cadangan kontraktor baharu semasa mesyuarat kabinet negeri September ini,” ujarnya.

Mengenai cadangan projek Jalan Kampung Medong Seberang/ Kampung Kekan Seberang yang telah diluluskan, beliau berkata JKR dan MIPD akan merangka program untuk melaksanakannya.

“Kami akan melantik perunding untuk projek ini, dan saya telah mengarahkan JKR untuk merangka pelan supaya kerja dapat dimulakan tidak lama lagi,” katanya.

Suara Sarawak