WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR

KUCHING: Sebanyak 25 Rang Undang-Undang (RUU) yang diluluskan pada sidang Parlimen Malaysia kali ini disifatkan sebagai pencapaian membanggakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, semua RUU yang diluluskan berkait rapat dengan kestabilan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat.

Menurutnya, kesemua RUU yang diluluskan akan menjalani proses sewajarnya sebelum dapat dikuatkuasakan melalui undang-undang dan penguatkuasaan

“Ia menjadi satu sejarah yang membanggakan apabila 25 RUU berjaya diluluskan pada sidang Parlimen Malaysia kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, antaranya undang-undang yang dianggap mempunyai kepentingan kepada semua rakyat dan negara seperti RUU pindaan perlembagaan terutama Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang turut diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Sementara di Dewan Negara, antara RUU itu adalah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA); Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN); Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 juga di bawah KDN; Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

“Selain itu, RUU Antigangguan Seksual 2021 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Akta Racun (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta tiga di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022, Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2022 dan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022,” ujarnya.

Kata Wan Junaidi lagi, selain RUU yang telah diluluskan terdapat usul yang turut dibawa ke Dewan Rakyat.

“Sebanyak sembilan usul dibahas di Dewan Rakyat dan hanya satu usul yang dibahas di Dewan Negara iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA,” jelasnya.

Suara Sarawak