KUCHING: Kira-kira lebih 2,500 pengunjung hadir seawal jam 6.30 pagi, hari ini bagi memeriahkan suasana di Padang Merdeka sempena sambutan program Kuching Pagi Tanpa Kenderaan (Car Free Morning) anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Program edisi ketujuh tahun 2022 itu turut diserikan dengan sembilan buah pelan pameran daripada agensi pelbagai iaitu Persatuan Pertubuhan Dalam Komuniti Kuching, Persatuan Autisme Kuching (KAA) serta pemeriksaan kesihatan secara percuma.

MERIAH…Suasana para peserta dan pengunjung masing-masing mengenakan gaya tersendiri mengikuti perarakan maching band secara beramai-ramai

Paling mencuri tumpuan, aktiviti perarakan marching band yang bermula dari Tugu Pahlawan menyaksikan para peserta mulai memenuhi jalan raya dengan berjalan kaki, berbasikal, kasut roda, larian mengelilingi kawasan program berukuran kira-kira lima kilometer.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Infrastruktur DBKU Mohamad Faisal Adenan berkata, objektif utama penganjuran program adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon sekali gus menggalakkan gaya hidup cergas dan hijau serta kesedaran alam sekitar kepada masyarakat.

MERIAH… Timbalan Pengarah Perkhidmatan Infrastruktur DBKU Mohamad Faisal Adenan (tengah) turut serta dengan peserta dan pengunjung program di pekarangan Padang Merdeka

“Dengan aktiviti ini, kita percaya warga kota turut menyokong seperti pagi ini ramai dalam kalangan mereka hadir menunggang basikal selaras dengan misi program iaitu tiada kenderaan bermotor.

“Kita hendak menggalakkan aktiviti sihat sebati dalam diri warga kota dan memberi ruang kepada masyarakat untuk terlibat dalam aktiviti tanpa gangguan trafik,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Tambahnya, program CFM akan datang dijangka turut mengadakan sukan komuniti bagi menggalakkan penyertaan komuniti yang lebih ramai untuk bersama-sama menyertai program.

Beliau dalam pada itu menegaskan agar semua pengguna trafik memberi kerjasama sepanjang aktiviti selama tiga jam itu diadakan.

LAWAT…Timbalan Pengarah Perkhidmatan Infrastruktur DBKU, Mohamad Faisal Adenan (empat dari kanan) melawat pameran program

Ujar Faisal, CFM sebelumnya hanya dilaksanakan di kawasan Padang Merdeka namun edisi ketujuh kali ini menunjukkan beberapa kelainan termasuk pemanjangan laluan sehingga ke Tebingan Kuching.

Antara jalan yang ditutup sementara ialah Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Pearl, Padang Merdeka, Dock Lane, lebuh market, Jalan Taman Budaya, Jalan Mcdougall, Jalan Wawasan, Jalan Main Bazaar, Jalan Khoo Hun Yeang dan Jalan Barrack.

Program CFM dianjurkan oleh DBKU merupakan aktiviti dijalankan pada pada minggu pertama hari Ahad setiap bulan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak