KUCHING: Seramai 326 anak kelahiran Sarawak memohon sokongan daripada Kerajaan Sarawak agar mereka dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41 Perkhidmatan Kontrak (COS) ambilan khas anak Sarawak bagi tahun 2022 untuk menampung segera kekurangan guru di Sarawak tahun ini.

Kumpulan calon guru COS 2021 anak Sarawak itu berkata sehingga 25 Julai 2022, seramai 16,381 daripada 18,702 guru telah ditempatkan di sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dan daripada jumlah itu, Sarawak menerima 3,144 guru iaitu 1,010 guru baharu lantikan tetap DG41 anak kelahiran Sarawak, manakala 1,603 guru daripada pelbagai negeri.

Justeru, mereka berkata jika dibandingkan 1,010 guru anak Sarawak dengan 18,702 guru baharu yang telah dilantik, ia hanya 6 peratus sahaja.

“Data-data yang ini menguatkan hujah kami yang telah sekian lama menunggu pelantikan dan penempatan sejak dari 27 November 2021 lagi.

“Malah, sejak keputusan dikeluarkan pada 27 Mei 2022 sehingga 26 Ogos 2022, pelbagai langkah telah kami aturkan agar diberi peluang untuk menjadi pendidik Bumi Kenyalang,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menjelas lanjut, mereka berkata seramai 326 anak kelahiran Sarawak memohon sokongan lantikan bagi tahun 2022 kerana mereka merupakan calon-calon anak kelahiran Sarawak yang tidak berjaya dalam pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 COS tahun 2021 apabila keputusan temu duga dikeluarkan pada 27 Mei 2022 kerana tidak menepati kekosongan mata pelajaran.

“Hal ini menimbulkan ketidakpuasan hati kami, kerana hakikatnya masih berlaku ketidaksepadanan pilihan di sekolah pada masa kini.

“Realitinya, guru-guru ‘One-Off’ dan COS yang baru dilantik ini diberikan oleh pihak pentadbir mata pelajaran yang berbeza berbanding pilihan dinyatakan dalam surat tawaran, contohnya ada guru Pendidikan Islam yang mengajar Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Matematik,” katanya.

Mereka menegaskan rasional memohon sokongan lantikan guru COS bagi segera menampung kekurangan guru di Sarawak ialah mereka telah melalui proses lantikan pada tahun 2021.

Antaranya melengkapkan permohonan di Laman Rasmi Program Diploma Pscasiswazah Pendidikan (MYPDPP) dan telah menduduki serta lulus Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG) serta menjalani temu duga secara dalam talian melalui Google Meet.

“Kami bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah di Sarawak sama ada di luar bandar atau di bandar, serta mengisi mana-mana pilihan yang masih kosong seperti yang ditandakan pada permohonan dalam laman MYPDPP,” katanya.

Dalam pada itu, mereka berkata kewajaran melantik segera 326 anak kelahiran Sarawak itu memudahkan pelbagai pihak kerana tidak perlu bermula dari awal untuk proses permohonan, tapisan, saringan dan temu duga.

Pada masa sama, katanya pengambilan anak kelahiran Sarawak dapat mengurangkan masalah yang sering ditimbulkan oleh Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dari Semenanjung Malaysia yang ditempatkan di Sarawak seperti enggan melapor diri di Sarawak serta enggan mengajar di kawasan luar bandar, kampung dan pedalaman Sarawak.

Selain itu berkhidmat dalam masa yang singkat kemudian berhenti atau melarikan diri, baru berkhidmat atau berkhidmat kurang setahun tetapi sudah mengisi permohonan pindah EGTUKAR ke negeri asal serta mencetuskan masalah semasa perkhidmatan dengan harapan agar dipindahkan ke negeri asal.

Suara Sarawak