Mohd Azman bercakap pada sidang media, turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Lukas Aket.

KUCHING: Seramai 251 orang lelaki dan 136 orang wanita ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan perjudian haram di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua suspek itu ditahan menerusi 344 serbuan Op Dadu yang dijalankan secara serentak di seluruh daerah negeri ini oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak pada 14 Julai sehingga 14 Ogos.

“Tangkapan melibatkan seramai 360 orang warga tempatan dan 27 orang warga asing berumur dalam lingkungan 20 hingga 63 tahun, dengan nilai rampasan berjumlah RM47,705,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.

Susulan itu, katanya sebanyak 344 kertas siasatan telah dibuka dengan 125 kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan telah dituduh di mahkamah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Serbuan dan tangkapan dilakukan Jabatan Siadatan Jenayah (JSJ) Sarawak sepanjang 14 Julai hingga 14 Ogos lalu.

Sementara, Mohd Azman berkata dalam tempoh sehingga 19 Ogos tahun ini, sebanyak 1,381 serbuan dilakukan melibatkan tangkapan seramai 1,826 individu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian, dengan jumlah rampasan bernilai RM426,071.

Menurutnya modus operandi yang dikesan adalah pengendali judi dalam talian akan menghantar mesej kepada pengguna melalui telefon untuk laman sesawang judi serta ID dan kata laluan.

Justeru tegasnya, dalam usaha memastikan aktiviti perjudian dapat dihapuskan sepenuhnya, JSJ Sarawak telah fokuskan kepada dua perkara utama iaitu pemotongan elektrik dan sekatan laman sesawang perjudian melalui Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

“Sebanyak 156 premis telah berjaya dibuat pemotongan bekalan elektrik dengan kerjasama pihak Sarawak Energy (Sesco) di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Manakala sebanyak 38 laman sesawang judi dalam talian telah disenaraikan dan dihantar ke SKMM untuk tindakan sekatan bagi tahun 2022,” ujarnya.

Katanya, pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung dalang judi dalam talian menerusi tindakan pencegahan.

Sementara berhubung judi bola sepak, beliau berkata pihaknya belum menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut namun pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.

Suara Sarawak