Gambar hiasan

KEGIATAN pengambilan tembakau yang dikenal pasti sebagai salah satu ancaman kesihatan awam terbesar masih dihadapi dunia hingga hari ini.

Statistik menunjukkan tabiat itu membunuh lebih lapan juta penduduk dunia saban tahun.

Malah penggunaan tembakau secara langsung dilaporkan menyumbang lebih tujuh juta kematian manakala 1.2 juta pula terdiri dalam kalangan mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok.

Lebih menggerunkan apabila jumlah kematian akibat pengambilan rokok di seluruh dunia dijangka meningkat dua kali ganda dalam tempoh lapan tahun akan datang berbanding bilangan semasa lebih lapan juta setiap tahun.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan peningkatan jumlah perokok di seluruh dunia daripada 1.3 bilion pada 2021 kepada jangkaan 1.7 bilion menjelang 2025.

WHO juga mendedahkan, lebih lapan juta orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat penyakit seperti kanser paru-paru, penyakit vaskular, penyakit jantung dan masalah pernafasan.

Manakala, lebih sejuta kematian melibatkan perokok pasif atau disebabkan terdedah kepada asap rokok.

Sementara di Malaysia pula, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan sebanyak 400 kematian akibat rokok direkodkan setiap minggu di negara ini.

Selain itu, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun berkaitan dengan merokok.

Dalam perkembangan berkaitan, Penyelaras Inisiatif @SmokeFreeMY, Muhammad Sha’ani Abdullah menjelaskan, kos rawatan kesihatan untuk penyakit berpunca daripada terdedah dengan asap rokok menjangkau lebih RM3 bilion setahun.

Angka besar itu ujarnya, berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding kutipan cukai yang dikutip daripada produk tembakau.

Justeru wajar jika pelbagai pihak memandang serius peringatan yang diberikan bukan sahaja demi penjagaan kesihatan holistik dan berkualiti tetapi juga melindungi diri daripada bahaya asap rokok.

Perlu diingatkan, nikotin mengakibatkan seseorang ketagih rokok, namun yang paling berbahaya ialah asap rokok yang mengandungi lebih daripada 5,000 bahan kimia.

Sekurang-kurangnya 69 daripada bahan itu boleh mengakibatkan risiko kanser selain mempercepatkan proses penuaan.

Merokok juga menyebabkan banyak kesan buruk kepada kesihatan dan kualiti hidup seseorang antaranya, risiko 30 peratus lebih tinggi mendapat kanser paru-paru, 25 peratus lebih tinggi mendapat penyakit jantung, kurang kesuburan, mudah mendapat asma dan lain-lain.

Sehubungan itu, pelbagai pendekatan dilaksanakan dalam usaha mengurangkan amalan tidak sihat ini.

Selain menaikkan harga rokok, kerajaan turut melaksanakan pelbagai kempen bagi mencegah amalan merokok sama ada melalui media cetak, media elektronik, penyebaran poster dan lain-lain lagi.

Komitmen jitu Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam sejak empat tahun lalu juga dilihat sebagai langkah terbaik yang perlu diteruskan.

Sudah pasti langkah berani yang dilaksanakan KKM bukan bertujuan menghukum sebaliknya demi menjamin kesihatan setiap warga daripada bahana 4,000 bahan kimia beracun berkenaan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak