Morshidi (empat kanan) menyaksikan Julaihi (dua kanan) melakukan simbolik pelancaran SMART Ng. Sekukut, Ulu Yong di Kapit, hari ini.

KAPIT: Sebanyak 51 menara Telekomunikasi Luar Bandar (SMART) Lembaga Multimedia Sarawak dirancang dibina di Kapit pada masa akan datang.

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani berkata, 14 daripada projek tersebut akan disiapkan di bawah fasa pertama manakala selebihnya akan disiapkan di bawah fasa kedua.

“SMART di Ng Sekukut adalah antara 300 tapak SMART di bawah fasa pertama yang dijangka ditauliahkan sepenuhnya secara berperingkat menjelang 2023.

“Manakala, 300 tapak lagi di bawah fasa kedua yang sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis pelancaran SMART Ng. Sekukut, Ulu Yong di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi bagi mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, dengan siapnya 600 tapak SMART dari Sematan sehingga ke Lawas, ia meliputi sebanyak 93.6 peratus kawasan berpenduduk di Sarawak.

Justeru, katanya inisiatif SMART di Sekukut akan dapat membuka peluang kepada masyarakat di Kapit untuk menyertai ekonomi digital dengan memanfaatkan rangkaian yang disediakan bagi mengakses platform e-dagang.

“Para peniaga, kini boleh memilih Ulu Yong sebagai salah satu destinasi perniagaan mereka kerana komunikasi yang lancar.

“Kami berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Sarawak secara positif dengan mengambil bahagian secara agresif dalam ekonomi digital dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Menurut Morshidi, dengan pelancaran SMART, semua pengendali rangkaian seperti Digi, Maxis, Celcom dan UMobile kini dapat memanfaatkan infrastruktur dan peralatan yang dilaburkan kerajaan untuk meluaskan jejak liputan mereka ke kawasan luar bandar.

“Dengan teknologi ini, kos operasi untuk pengendali arus perdana dapat dikurangkan dengan ketara dan dikongsi sama rata.

“Selain daripada menyediakan perkhidmatan mudah alih, inisiatif SMART juga membolehkan perkhidmatan jalur lebar rumah melalui MySRBN,” katanya.

Suara Sarawak