Gambar hiasan

KUCHING: Sebanyak 619 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia pada 8 hingga 11 Ogos lalu.

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) berkata, Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) telah mengesan sebanyak 185 (8 Ogos), 262 (9 Ogos), 73 (10 Ogos) dan 99 (11 Ogos) titik panas di negara jiran itu.

Manakala, katanya, terdapat lima, 17, satu dan dua titik panas dikesan di Sarawak pada tarikh yang sama

“Menurut tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Malaysia, negara sedang berada dalam fasa Monsun Barat Daya dan dijangka akan berterusan sehingga pertengahan September depan.

“Pergerakan angin Monsun Barat Daya telah membawa jerebu dari kawasan titik panas negara jiran ke Sarawak sekali gus mengakibatkan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan selatan negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tebedu pada 9 Ogos 2022 telah merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 132, namun menunjukan tren menurun ke tahap sederhana semenjak 11 Ogos lalu.

“Sementara itu, bacaan IPU di bahagian-bahagian lain di Sarawak adalah pada tahap baik sehingga sederhana,” katanya.

Jelasnya, dalam tempoh ini, negara berdepan dengan musim panas yang berpanjangan, kebanyakan tempat adalah cenderung untuk menerima bilangan hari tanpa hujan lebih tinggi berbanding jumlah hari hujan.

Dalam pada itu, tegasnya, NREB memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara terutamanya pada musim panas.

“Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (Pindaan 2019).

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda, tidak melebihi  RM100, 000.00 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Orang ramai diminta untuk melaporkan kesalahan pembakaran terbuka ke Pejabat NREB berdekatan atau Whatsapp Hotline NREB di 013-7595866 atau 082-319543. Kerahsiaan laporan adalah juga dijamin di bawah Seksyen 38 Perlindungan Pemberi Maklumat, Ordinan yang sama.

Suara Sarawak