Ikmal Hisham menyemat pingat PJM kepada veteran ATM dalam majlis penganugerahan PJM di sini, hari ini.

KUCHING: Seramai 713 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) atas sumbangan dan khidmat mereka kepada negara.

Penyampaian pingat itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di sebuah hotel, di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa, Pegawai Kanan ATM serta kenamaan yang lain.

Majlis yang diadakan merupakan majlis penganugerahan yang pertama diadakan dalam fasa endemik Covid-19 di Malaysia Timur.

Sehingga kini, seramai 31,221 veteran ATM telah menerima PJM manakala bagi veteran yang layak dan belum lagi dianugerahkan akan dijadualkan penganugerahan pada masa akan datang.

Penganugerahan PJM telah dilaksanakan mulai 3 Mac 2004 adalah merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas Komunis.

PJM dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang telah berkhidmat atau terlibat dalam operasi secara berterusan selama tiga bulan dan ke atas atau telah bertugas secara langsung tidak kurang dari enam bulan.

Anggota tentera ini perlu berkhidmat di mana-mana pasukan atau formasi ATM bagi tempoh dari 1 Januari 1969 hingga 2 Disember 1989 bagi operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dan dalam tempoh 1 Januari 1969 hingga 17 Oktober 1990 bagi operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Selain itu, PJM turut dianugerahkan kepada anggota tentera yang telah terbunuh, cedera atau menjadi kurang upaya disebabkan oleh tugas menentang PKM atau operasi menentang PKKU.

Suara Sarawak