Abang Johari merakam kenangan bersama-sama barisan tetamu yang lain selepas Majlis Makan Malam Tahunan Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di Kuching, malam tadi.

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka bakal menyampaikan satu lagi ceramah mengenai ekonomi hidrogen di Jepun pada bulan depan.

Pada bulan Mei lalu, beliau bercakap di Sidang Kemuncak Hidrogen Dunia 2022 di Rotterdam, sekali gus menonjolkan Sarawak dalam industri tenaga boleh diperbaharui serta bersedia untuk menguasai ekonomi hidrogen.

“Dunia sedang menuju ke arah ekonomi hidrogen. Saya mendapat keistimewaan kerana diberikan
peluang untuk membentangkan kertas kerja pada persidangan dunia di Rotterdam. Malah saya
satu-satunya orang Asia yang membentangkan kertas kerja.

“Insya-Allah, saya telah dijemput untuk sekali lagi memberi ceramah, bercakap mengenai ekonomi hidrogen pada bulan depan di Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahunan Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak di sini, malam tadi.

Tegasnya, pengeluaran hidrogen merupakan sumber ekonomi baharu yang sedang diusahakan oleh negeri ini.

Hadir sama Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang’ Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi IEM Cawangan Sarawak Datuk Ir Janang Bungsu.

Suara Sarawak