Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili dan Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid bertukar dokumen MoU yang ditanganani di BCCK, hari ini. Turut Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian (dua kiri), Pengerusi CIDB Yusuf Abdul Wahab (dua kanan) serta tetamu kehormat lain.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan satu bentuk bantuan untuk pemain dalam industri pembinaan di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau kini sedang memuktamadkan bantuan itu dengan Setiausaha Kewangan Negeri, yang memberi tumpuan kepada harga bahan binaan.

“Sekarang ini, kita sedang menghadapi banyak projek sakit dan saya akan mengumumkan bantuan dari segi penetapan harga bahan binaan tidak lama lagi untuk membantu kontraktor kita.

“Ini akan mewujudkan senario iaitu Sarawak akan sangat-sangat sibuk (dengan pelaksanaan projek) sehingga 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Suara Sarawak