CERIA… Abang Johari kelihatan ceria semasa menyertai acara Zumba Keluarga Malaysia sebelum melepaskan acara merentasi Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching, dekat sini, hari ini. Turut kelihatan ialah (kiri) Hasidah, Jaafar, Asfia, John Sikie dan lain-lain. (Foto: Ramidi Subari)

KUCHING: Seramai 200 peserta menyertai program Berjalan Teguh Bersama Keluarga Malaysia di Tebingan Kuching, pagi tadi.

Selain agensi kerajaan dan orang awam, ia juga disertai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Acara yang berkonsepkan aktiviti berjalan kaki beramai-ramai dalam suasana kekeluargaan, santai dan diraikan dengan suasana yang harmoni sambil mengibarkan Jalur Gemilang telah dipimpin oleh Abang Johari.

Beliau juga menyempurnakan pelepasan acara merentasi Jambatan Darul Hana dan terus menuju ke bangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak.

Tepat jam 7.31 pagi tadi, Abang Johari turut menyertai acara senaman Zumba Keluarga Malaysia bersama-sama dengan peserta yang terlibat.

Sebelum mengakhiri program, Premier juga menyempurnakan pelepasan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) yang akan merentasi 33 daerah di seluruh Sarawak.

Konvoi tersebut akan melalui 37 perhentian (pit stop) dengan jumlah perjalanan sekitar 4,025 kilometer bermula dari Telok Melano sehingga ke Lawas, dan berpatah balik ke Betong pada 31 Ogos.

Turut memeriahkan program tersebut pagi ini ialah Speaker Dun Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni serta wakil yang lain.

Suara Sarawak