RASMI….Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah (tengah) bersama 12 ahli lembaga pelawat baharu

KUCHING: Ahli Lembaga Pelawat (ALP) diingatkan untuk menggalas tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan watikah pelantikan kepada seramai 12 ALP bagi sesi 1 Disember 2021 hingga 30 November 2024 di Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah Kuching, di sini, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan tugas dan tanggungjawab tambahan tersebut hendaklah dijalankan sebaik mungkin dalam membantu menyuntik aspek kemenjadian kanak-kanak di institusi tersebut.

“Kita tidak mahu mendengar ALP rumah kanak-kanak ini dikatakan seperti ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ dengan berlakunya kes seperti pecah amanah.

“Semoga dengan lantikan ini juga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di sini dapat dilestarikan dengan lebih baik,” katanya.

Lembaga Pelawat merupakan sebuah pasukan yang ditubuhkan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengikut Seksyen 82 Akta Kanak-Kanak 2001.

Fatimah menambah, diharapkan lantikan itu dapat membantu memperkembangkan kemenjadian kanak-kanak di institusi itu untuk masa depan yang lebih cerah.

Suara Sarawak