KUCHING: Seorang pekerja kilang kayu dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana bertindak agresif memukul kenalannya menggunakan bangku kayu.

Tertuduh Fuad ,31, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 23 tahun menggunakan sebatang kayu dan bangku kayu di sebuah kilang kayu di kawasan perindustrian Bintawa, di sini, kira-kira jam 8.05 malam, 13 Ogos lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.

Selain itu, tertuduh juga dikenalpasti sebagai suspek yang dicari.

Difahamkan, semasa kejadian, tertuduh bertindak agresif memukul mangsa dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak