Anggota bomba dan polis mengusung mayat mangsa setelah dijumpai terapung di sungai kawasan Kampung Bedil, Kanowit kira-kira jam 4 petang hari ini.

KAPIT: Setelah empat hari pencarian, kanak-kanak lelaki yang hilang dalam kejadian perahu karam di Dermaga Batu Seberang, Pekan Kapit ditemukan terapung hari ini.

Mayat Jenggut Antas, 10, dijumpai oleh anggota bomba yang tidak bertugas, ketika sedang memancing di sungai kawasan Kampung Bedil, Kanowit kira-kira jam 3 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata jarak dari lokasi kejadian bot karam dianggarkan 84 kilometer dari lokasi mayat mangsa dijumpai.

“Mayat mangsa dibawa ke jeti Kampung Hilir Kanowit dan diserahkan kepada pihak polis.

“Hasil pengecaman dilakukan oleh bapa mangsa mengesahkan bahawa ia adalah mayat anak kandungnya, berdasarkan kepada pakaian dipakai pada waktu kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.45 pagi Jumaat lalu, apabila enjin perahu dinaiki mangsa bersama keluarganya menghadapi masalah sebelum dihanyutkan arus deras.

Ia kemudiannya terlanggar tongkang yang sedang berlabuh di tebing sungai sebelum karam.

Menurut laporan yang dibuat oleh bapa mangsa, Antas Agang, insiden berlaku ketika dia bersama isteri dan dua anak mereka dalam perjalanan menyeberang sungai ke pekan Kapit.

Susulan kejadian, Antas bersama isteri dan seorang lagi anak mereka berjaya menyelamatkan diri namun Jenggut hilang.

Suara Sarawak