RASMI…Datuk Seri Abdul Karim (tengah) memukul gong sebagai simbolik perasmian ASPASP Ke-9 2022. – FOTO RAMIDI SUBARI

 

KUCHING: Keupayaan menguasai dan memanfaat pengetahuan bidang psikologi sangat penting buat seseorang atlet.

Ia merupakan salah elemen yang boleh menyumbang kejayaaan seseorang individu yang bergelar atlet dalam penampilan dalam sesuatu kejohanan disertai.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Belia Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, ia amat bertepatan dengan penganjuran Kongres Antarabangsa Psikologi Sukan, Persatuan Psikologi Sukan Asia Pasifik Selatan (ASPASP) Ke-9 2022.

Secara tidak langsung penganjuran kongres seperti ini dapat dijadikan sebagai sumber rujukan sekali gus meningkatkan pengetahuan yang sangat diperlukan oleh ahli psikologi sukan, jurulatih dan atlet.

“Saya percaya bakal atlet Sarawak akan mendapat manfaat daripada pertukaran dan perkongsian ilmu psikologi yang berkesan pada kongres kali ini,” ujar beliau ketika berucap pada majlis perasmian ASPASP 2022 itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini. .

Kongres tiga hari itu dianjur oleh Persatuan Psikologi Sukan Sarawak (SASPA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPGKBL), Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGTAR) Kota Samarahan dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Suara Sarawak