Awang Tengah (kiri) bertemu dengan Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Perdana Putra, di sini pada Khamis.

Kunjungan tersebut bertujuan untuk memberikan taklimat kepada Perdana Menteri berkenaan perniagaan sektor tenaga boleh diperbaharui Sarawak dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean).

Menurut kenyataan media Pejabat Timbalan Premier Sarawak, antara isu isu yang dibincangkan adalah peranan negeri ini bagi memenuhi komitmen Malaysia dalam Perjanjian Grid Kuasa Asean yang ditandatangani pada 2007.

Pertemuan tersebut turut menyaksikan pembentangan projek yang dirancang oleh Sarawak dalam sektor tenaga bersama negara Asean seperti Singapura dan Indonesia.

Dalam pertemuan tersebut juga, Awang Tengah meminta sokongan Perdana Menteri supaya projek-projek berkenaan dapat dibawa untuk perbincangan di peringkat antara Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datuk Dr Mohammed Abdullah Zaidel; Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Naroden Majais dan Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak Saferi Ali.

.

Suara Sarawak