Michael Tiang

KUCHING: Borneo Housing Mortgage Finance Berhad (BHMFB) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memberikan kelonggaran tertentu kepada syarat pinjaman bayaran balik pembeli perumahan Sentoria di Petra Jaya.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Tempatan Kerajaan Michael Tiang berkata, antara yang ditawarkan tiga jenis bantuan kewangan kepada pembeli rumah terjejas.

“Lembaga menawarkan penjadualan semula ansuran bulanan untuk projek bermasalah dengan kemajuan 80 peratus daripada jadual penyiapan.

“Selain itu, pembatalan pinjaman untuk projek terbengkalai, bermasalah dan sakit. Manakala moratorium untuk kemajuan projek semasa di bawah 80 peratus daripada siap,” katanya kelmarin.

Dalam pada itu katanya, BHMFB dan Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS) masih mempertimbangkan langkah tertentu untuk menangani beberapa perkara berkenaan pinjaman.

“Di samping itu, BHMFB dan SFS memberikan dua moratorium selama enam bulan masing-masing pada tahun 2020 dan 2021 untuk pembeli rumah yang terjejas,” ujarnya.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya terus komited menyelesaikan masalah tersebut dan telah menjalankan beberapa siri penglibatan dengan Sentoria Borneo Land Sdn. Bhd. (SBLSB), pemaju untuk projek Borneo Samariang Resort City (BSRC) itu bagi mengetengahkan isu bantuan kewangan pembeli rumah penjawat awam yang terjejas.

Dalam pada itu katanya, pembekuan sementara Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) juga telah ditarik balik oleh bank. Namun pihak bank berkeras untuk mempunyai tuntutan dikemukakan oleh SBLSB untuk disemak dengan teliti oleh akauntan pemantau yang dilantik.

“Pelepasan itu juga tertakluk kepada syarat tertentu untuk prakeluaran dan pasca-keluaran dana yang dipatuhi oleh SBLSB. Proses rumit it sangat memakan masa dan telah menyebabkan kelewatan pembayaran oleh bank kepada sub kontraktor.

“Malah tuntutan kumpulan pertama mengambil masa lima bulan untuk dikeluarkan oleh bank, pada kadar semasa ini, SBLSB terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi di samping sumber kewangan yang terhad.

“Akibat kelewatan pembayaran, sub kontraktor telah berhenti bekerja sekali gus kemajuan pembinaan sangat tidak produktif,” jelasnya. Tegasnya, pihak pemaju telah menyatakan komitmen mereka untuk meneruskan projek BSRC sehingga siap.

Suara Sarawak