LYDIA AMAN

KUCHING: Seorang lelaki warga Algeria diarahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol anak perempuan kandungnya yang kini berusia 14 tahun.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berusia 50 tahun itu, di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh (baju biru) dibawa keluar dari mahkamah menuju ke tempat tahanan sementara.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua, ketiga, dia yang merupakan jurulatih gim didakwa di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana merogol anak kandungnya di kediaman mereka di Petra Jaya, sekitar tahun 2012, 2014 dan Mac 2019.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat.

Manakala pertuduhan kelima, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2017 kerana menyentuh kemaluan mangsa yang sama dengan tujuan seksual.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan keempat dan keenam iaitu dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Sekyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan keempat, dia didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap mangsa sama di kediaman mereka sekitar bulan Mac 2019.

Manakala, pertuduhan keenam dia didakwa merogol mangsa di tempat kejadian yang sama pada bulan May 2020.

Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Difahamkan, tertuduh telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di negeri ini.

Dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu ketika mangsa berusia lima tahun pada tahun 2012.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak