SIAPA pernah menonton filem Rush Hour 2, filem dibintangi pelakon popular iaitu Jackie Chan selaku Inspektor Lee, Polis Hong Kong dan Chris Tucker sebagai Detektif Carter dari Jabatan Polis Los Angeles (LAPD).

Dalam satu babak kejar mengejar dengan kumpulan penjahat, Lee yang ketika itu berpaut pada perancah yang diperbuat daripada batang buluh setelah dikalahkan oleh Hu Yi, watak dilakonkan oleh Zhang Zi Yi.

Carter yang melihat Lee berpaut pada batang buluh cuba menyelamatkan rakannya, namun beliau ditolak oleh Hu Yi dan turut sama berpaut pada batang buluh bersama Lee.

Nasib tidak berpihak kepada mereka apabila buluh itu melentur dan kedua-duanya jatuh menghempap bumbung gerai.

Sebelum kedua-duanya jatuh, Jackie cuba meyakinkan Chris ketika itu berkata, “Jangan bimbang, buluh Cina amat kuat,” namun perkara sebaliknya berlaku.

Bercerita mengenai buluh, ia menjadi perbualan hangat di laman media sosial apabila Perbadanan Kemajuan Perusahaan Perkayuan Sarawak (Pusaka) berhasrat mempromosikan basikal buluh dari negeri ini secara komersial bermula awal tahun hadapan.

Dalam ruangan komen, ramai yang skeptikal dengan hasrat itu, malah ada yang berkata, menggunakan buluh sebagai rangka basikal tidak akan bertahan lama, mudah reput dan tidak kurangnya ada yang berkata negeri ini sudah kekeringan idea dalam inovasi.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa buluh itu bersifat ringan dan kuat seperti konkrit yang mampu menahan ketahanan sehingga empat tan.

Kita dapat melihat contoh struktur binaan yang diperbuat daripada buluh seperti rumah panjang di Kampung Mongkos dan Balai Kebudayaan di Bunan Gega, Serian yang masih bertahan sehingga ke hari ini.

Ciptaan basikal daripada buluh ini bukan sesuatu yang baru di dunia kerana terdapat beberapa negara juga cuba menembusi pasaran dunia dengan penghasilan basikal tersebut.

Pada awal Jun ini, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri baharu Australia Anthony Albanese menunggang basikal buluh bersama-sama ketika mengadakan perbincangan untuk mengeratkan hubungan diplomatik dua hala dan kerjasama antarabangsa.

“Di bawah cuaca Bogor yang redup, saya dan PM Anthony Albanese berbasikal dari Pejabat Presiden pada sebelah pagi ke Resto Raasaa di Taman Botani Bogor.

“Basikal yang kami gunakan ialah basikal buluh oleh Singgih S. Kartono dari Temanggung, Jawa Tengah, yang direka untuk digunakan di lebuh raya,” kata Jokowi menerusi Twitter.

Memetik laporan berita, Singgih, anak Kampung Kandangan di Temanggung, Jawa Tengah berupaya mencipta basikal daripada buluh ketika dia jatuh sakit.

Ketika melayari Internet untuk mencari senaman yang sesuai, dia menemui maklumat mengenai basikal buluh di Amerika Syarikat.

Singgih terkejut apabila mengetahui bahawa buluh digunakan untuk membuat basikal di negara itu yang tumbuhan itu jarang ditemui.

“Menyedari bahawa buluh tumbuh dengan banyak di Indonesia, saya terfikir bahawa kita harus membuat basikal buluh,” kata pengasas produk kayu jenama Magno itu.

Melihat usaha dan kejayaan Singgih, tidak mustahil bagi anak Sarawak juga mampu mencipta kejayaan melalui kreativiti mereka. Ia sekali gus menjadi ruang untuk anak Sarawak mempamerkan bakat dan kebolehan mereka dalam reka cipta dan dalam masa yang sama mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu.

Justeru, membuat penilaian awal dan bersifat skeptikal mengenai basikal buluh buatan anak tempatan adalah tidak perlu kerana suatu hari nanti produk sedemikian mungkin menempa nama di peringkat antarabangsa.

Suara Sarawak