KUCHING: Bumi Kenyalang ini tidak terpinggir dalam usaha Kerajaan Persekutuan membasmi kemiskinan, apabila turut terlibat dalam Program Pembasmian

Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata fasa pertama BMTKM di Sarawak melibatkan empat lokaliti iaitu Gedong, Kampung Seberang Sebuyau,Kampung Spaoh dan Pakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh yang diadakan di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini.

“Selain BMTKM, seramai 867,967 Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang telah menerima manfaat menerusi inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM745 juta.

“Ini membuktikan kecaknaan kerajaan terhadap Keluarga Malaysia di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh yang diadakan di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu melalui Program Penyeragaman Harga.

Katanya ia bagi membolehkan penduduk di kawasan pedalaman atau luar bandar menikmati tujuh harga barangan keperluan asas pada harga yang sama di bandar.

“Barangan tersebut ialah gula putih, tepung gandum kegunaan am/bukan kegunaan am, minyak masak sawit, beras putih, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.

“Daripada RM200 juta, sebanyak RM125 juta ataupun lebih 62 peratus adalah khusus bagi melaksanakan program ini di Bumi Kenyalang, yang memberi manfaat kepada 500,000 penduduk Sarawak melibatkan 112 zon merangkumi 538 kawasan pengedaran,” katanya.

Menjelas mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo bernilai RM16.1 bilion yang dilancarkan pada Mac 2015, Ismail berkata ia kini berada pada tahap 85 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

Tambahnya kerajaan juga akan meneruskan Fasa 2 Projek Sarawak Sabah Link Road (SSLR) yang akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas tanpa perlu melalui Brunei.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memetik Sape sebagai simbolik perasmian Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri ketujuh yang diadakan di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini hari ini. Turut kelihatan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua kiri) serta tetamu kehormat lain.

“Projek Fasa 2 SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng di Lawas akan menghubungkan Mulu hingga Long Merarap sejauh 326km dengan kos RM7.68 bilion,” katanya sambil menambah pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut menambah baik jaringan jalan raya sedia ada antara Miri ke Limbang dan Lawas melalui Brunei di bawah Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB), melibatkan kerja-kerja naik taraf sepanjang 96.351km bagi tempoh tiga tahun dengan kos berjumlah RM2.93 bilion.

Katanya itu akan menjadi pemangkin pembangunan sosioekonomi setempat kerana Lebuh Raya Pan Borneo mula memberi impak positif dan limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan yang berniaga di Pasar Tamu Simpang Bekenu.

Suara Sarawak