Sempadan Malaysia -Brunei

Belanja RM4 juta sehari di Miri

JAM 6.00 pagi 1 Ogos lalu, pintu sempadan Brunei, Malaysia dibuka secara rasmi.

Selepas dua tahun dan lima bulan ditutup, penantian warga Brunei, bahkan orang Malaysia khususnya Sarawak untuk ke Sabah, Brunei dan sebaliknya menggunakan jalan darat dan laut dapat dilakukan semula.

Brunei membuka semula sempadan laut dan darat kepada semua pelawat yang sudah lengkap divaksin bermula 1 Ogos.

Jawatankuasa Pandu Covid-19 Brunei menetapkan warganegara asing untuk perjalanan masuk atau keluar negara dalam apa-apa juga jenis perjalanan sekurang-kurangnya mesti sudah mendapat dua dos vaksin.

Selain itu, Brunei baru sahaja menamatkan Fasa Awal Endemik pada 31 Mei lalu dan keadaan jangkitan Covid-19 di negara itu dalam keadaan terkawal dan stabil.

Manakala perjalanan rentas sempadan melalui darat dan laut telah dirancang untuk dibuka sepenuhnya bermula 1 Ogos pula sebenarnya tertakluk kepada keadaan semasa jangkitan Covid-19 di negara itu serta kesediaan peroperasian di pos-pos kawalannya.

Jadi selepas ini, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Sungai Tujoh, Kuala Baram akan kembali sibuk seperti sediakala dengan kunjungan kenderaan dari Brunei, Sarawak bahkan dari Sabah.

Tahukah anda, penutupan sempadan Brunei menyebabkan rakyat Sarawak yang bekerja di negara itu terkurung?

Ini kerana Kerajaan Brunei tidak membenarkan aktiviti rentas sempadan ekoran Covid-19.

Jika anda masih ingat, apabila virus Covid-19 melanda seluruh dunia dua tahun lalu, rata-rata negara mengambil langkah drastik menutup sempadan negara masing-masing, termasuk Malaysia dan Brunei untuk mengawal penularan virus, sekali gus meminimumkan kadar jangkitan.

Bagaimanapun, Malaysia mula membuka sempadan negara lebih awal berbanding Brunei.

Sempadan negara kita dibuka bermula 1 April lalu dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sedia media di Parlimen pada Mac lalu berkata, keputusan ini dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Jika kita kupas kembali, penutupan sempadan negara menjejaskan banyak industri terutama sektor pelancongan.

Sebelum pandemik Covid-19, ketibaan penerbangan dari Singapura dan pembukaan sempadan Brunei Darussalam ke Miri menyaksikan 1.2 juta pelawat masuk ke Miri menerusi Brunei.

Data ini didedahkan oleh Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ketika itu Datuk Sebastian Ting tahun lalu. Tumpuan pelancong Tetapi akibat ketiadaan pelawat luar sejak dua tahun lalu, aktiviti perniagaan di sekitar Miri terutama di tempat pelancongan menjadi lengang.

Miri merupakan antara bahagian di utara Sarawak yang menjadi tumpuan pelancong asing.

Negara jiran paling dekat dengan Miri pula adalah Brunei Darussalam.

Secara tidak langsung, ketiadaan pelawat dari negara kecil yang kaya dengan sumber minyak dan gas dunia itu sedikit banyak memberi impak besar kepada aktiviti perniagaan penduduk tempatan.

Contoh jelas adalah Pusat Kraftangan Khazanah Borneo yang mempunyai 12 gerai dan Pusat Khazanah Miri yang mempunyai 13 gerai. Semua peniaga kraf tangan di kedua-dua tempat ini terpaksa bergantung kepada pelanggan tempatan semata-mata sepanjang tempoh sukar tersebut.

Oleh itu, kenyataan daripada Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Cawangan Sarawak John Teo bahawa industri makanan dan minuman (F&B) serta penginapan di Miri akan mendapat durian runtuh, sebaik sempadan antara Miri-Brunei mula dibuka adalah betul.

Mengapa? Ini kerana rata-rata pusat beli-belah di Miri akan dibanjiri pelawat dari Brunei terutamanya pada hujung minggu dan jalan raya akan bertambah sesak dengan kenderaan warga Brunei.

Bagi warga Miri, suasana sedemikian merupakan satu perkara biasa kerana kedatangan pelawat akan memeriahkan lagi aktiviti ekonomi kawasan setempat.

Seperti yang dikatakan oleh John Teo, jika sekitar 2,000 kenderaan dari Brunei akan menyeberang ke Miri menerusi CIQS Sungai Tujoh selepas sempadan negara dibuka, ini akan membawa masuk sekurang-kurangnya 5,000 rakyat Brunei serta orang lain ke Miri.

Maka, dengan purata perbelanjaan sekitar RM800 bagi setiap warga Brunei di Miri, ini akan membawa purata RM4 juta sehari atau RM120 juta sebulan, atau jumlah minimum RM1.44 bilion dalam perbelanjaan pelancongan.

Melihat kepada angka tersebut, ia satu jumlah yang sangat besar tambahan pula nilai mata wang Brunei lebih tinggi berbanding negara kita.

Kesimpulannya, dengan pembukaan sempadan negara segala aktiviti yang tertangguh sebelum ini boleh dilaksanakan semula.

Namun, pastikan anda sudah mendapat vaksin Covid-19 dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara apabila hendak merentas negara atau memasuki sesuatu negara.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak