KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika ini belum menetapkan tarikh bagi menarik semula sekatan mengeksport ayam pedaging.

Bagaimanapun kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, penarikan semula sekatan itu telah dibincangkan di peringkat kabinet.

Menurutnya, sekatan ketika ini bersifat sementara dan akan dibenarkan untuk dieksport setelah bekalan domestik telah pulih.

“Sebagai sebuah industri, ini perlu dipertimbangkan dan itu akan diumumkan oleh Kementerian Asas Tani dan Industri Makanan, Kementerian Ekonomi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan tinjauan di Tapak Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Dataran Perayaan, Jalan Stadium, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, bekalan ayam untuk kegunaan domestik ketika ini adalah berlebihan.

Beliau berkata, meskipun harga maksimum ditetapkan, pihaknya mendapati terdapat beberapa tempat menjual ayam di bawah harga maksimum.

“Kita menerima maklumat banyak tempat menjual jauh lebih rendah daripada yang ditetapkan.

“Sarawak juga begitu. Tiada masalah dari segi bekalan ayam,”ujarnya.

Terdahulu, Menteri Asas Tani dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sekatan yang berkuat kuasa ketika ini adalah sementara sehingga harga pengeluaran ayam kembali stabil sepenuhnya.

Katanya, kerajaan bersetuju memberi subsidi kepada penternak ayam pedaging dan ayam penelur berjumlah RM1.1 bilion secara keseluruhannya bagi meringankan beban penternak ayam.

Jelasnya, pemberian subsidi ini bermula 5 Februari 2022 dan akan berakhir pada 31 Ogos 2022.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak