TUJUH tahun lalu, sahabat saya bernama Nurelvina, mengeluh selepas anak sulungnya gagal dalam peperiksaan SPM.

Setiap hari dia mengeluh tentang anak bujangnya yang nakal, enggan belajar, suka merempit.

Bayangkan, anaknya ditahan kerana aksi Superman, dua tiga kali masuk lokap kerana lalu dengan pil. Nurelvina selalu berkongsi cerita dengan kami, anak memang tiada masa depan.

Kami cuma mendengar dan seorang kawan kami tiba-tiba melantun idea.

“Hantar dia kursus automobil, dia suka merempit mungkin berminat kerja-kerja membaiki apa-apa sahaja.”

Dalam nada bergurau, kawan kami menambah – suka hancurkan motosikal, mungkin dia suka membaikinya, ajar dia pikul tanggungjawab.

Dalam erti kata lain, apa-apa yang dia rosak, dia kena memperbaikinya. Ini kerana dalam enam bulan, sekurang-kurang empat kali motosikalnya rosak, pecah tayar, langgar bahu jalan dan langgar pagar rumah.

Cerita itu bernoktah di situ. Masa berlalu, kami masing-masing sibuk. Selalunya sahabat-sahabat saya akan kemas kini mengenai mereka, dengan bermesej sahaja kerana saya tiada Facebook.

Hingga ketika pejabat kami mengadakan kursus motivasi sebulan lalu, saya menerima mesej mempelawa saya minum.

Saya menunggu hari rehat untuk keluar dengan kawan-kawan. Kami minum petang bertiga di Secret Recipe Satok selepas lama tidak bertemu walaupun diam setanah.

Pertanyaan pertama saya, mana si Boy? Boy panggilan untuk anaknya yang bernama Aizat Akmal.

Nama itu diambil sempena nama ‘crush’nya ketika sama-sama bersekolah.

Kini, kami masing-masing di bandar raya ini. Ada kehidupan yang kami lunaskan di sini.

Dia pun menunjukkan kami gambar. Mula-mula gambar perkahwinan anaknya, kemudian gambar keluarga dan akhir sekali, gambar bengkel kereta di dua lot kedai. Boy sekarang bukan Boy yang dahulu.

Katanya, tujuh tahun lalu, selepas gagal SPM, anaknya kemalangan. Kemalangan yang mematahkan sebahagian giginya, patah kaki dan berjahit di lengan.

Kemalangan itu merubahnya 360 Darjah menjadi anak pendiam.

Setahun proses pemulihan di rumah, anaknya mula menunjuk sikap mahu berubah. Ibunya membiarkan perubahan itu sedikit demi sedikit sehingga satu hari, anaknya mahu mengikuti kursus automotif – perkataan mudah kursus membaiki dan menyelenggara kereta sehingga tamat tahap maksimum.

Dia bersungguh-sungguh mahu berubah kerana kemalangan menyedarkannya bahawa hidup tidak perlu disia-siakan.

Analogi di atas penting untuk difahami semua. Ini bukan kisah budak nakal, anak tidak mendengar kata atau kisah kemarahan seorang ibu – tetapi bagaimana anak harus memahami bahawa selepas gagal SPM, bukan bermakna mereka gagal dalam kehidupan.

Dahulu ya, pada zaman 80-an, peluang melanjutkan pelajaran untuk mereka yang tercorot agak tipis.

Namun bukan kini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET dibuka di mana-mana.

Adanya pelbagai kolej dan pusat pendidikan swasta, remaja hanya perlu bijak memilih kursus yang diminati.

Dengan kelulusan minimum yang pelajar ada, mereka boleh memohon kursus dalam bidang teknikal atau vokasional.

Misalnya di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak atau Centexs menawarkan pembelajaran percuma sehingga tiga bulan bagi pelajar mempelajari mengenai pengetahuan asas bidang yang dipilih sebelum melanjut untuk sesi kepakaran teknikal tiga hingga empat bulan bagi mendedahkan kepada pelatih dengan realiti persekitaran pekerjaan yang sebenar.

Malah beberapa pusat latihan teknikal lain seperti Giat Mara atau Kolej Komuniti juga menawarkan pelbagai kursus kemahiran termasuk universiti swasta berbayar juga menawarkan beberapa kursus teknikal.

Kebanyakan latihan kemahiran ini membuka peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran.

Apabila memperoleh sijil nanti, mereka mempunyai pilihan untuk terus bekerja atau melanjutkan pelajaran lebih tinggi.

Perlu ada keazaman dan usaha gigih. Salah satu contoh menarik ialah kisah si Boy. Daripada budak nakal kini mempunyai bengkel yang memberi pulangan lumayan selepas fasa endemik Covid-19, ada keluarga bahagia dan anak-anak yang comel.

Jika kalian lepasan SPM membaca ruangan ini sekarang, tolong tanya kepada diri sendiri – tidakkah ingin untuk berubah?

Jika kalian anak yang malas, rajinlah.

Jika kalian anak yang tidak bertanggungjawab, berubahlah untuk masa depån sendiri.

Mulakan dengan rasa tanggungjawab kepada diri sendiri.

Jadi anak yang bertanggungjawab, berani memikul kesalahan dan membuat keputusan. Saya cukup kasihan dengan ibu-ibu, bukan ibu yang saya tidak kenal, ibu yang saya kenali – merintih mengenang nasib anaknya yang malas.

Gagal SPM, tidak mahu bangkit untuk berubah. Umur sudah 18 tahun, tetapi jadi penghulu di dalam rumah sendiri.

Bagi mereka, duduk rehat sahaja di rumah cukup. Inilah permulaan cerita. Tidur bangun sampai usia 21 tahun, masih mencari hala tuju.

Makan minum emak sedia, duit minyak motosikal bapa bagi.

Bertahun-tahun disia-sia begitu sahaja. Jika tidak mahu melunaskan tanggungjawab sebagai anak yang baik, bertanggungjawablah kepada diri sendiri.

Pelajar yang gagal, harus rajin melihat peluang lain yang ada. Ingatkan pengorbanan ibu bapa kita. Ibu bapa bekerja malam dan siang demi kita, demi pelajaran kita.

Saya selalu katakan kepada anak-anak, ibu bapa mereka bukan dilahir di dalam dulang emas dan tiada segunung harta untuk kami tinggalkan.

Tetapi, supaya mereka boleh dan dapat meneruskan hidup pada masa hadapan, mereka harus tahu erti tanggungjawab – tanggungjawab kepada diri sendiri.

Seperti kisah Boy – apabila dia sedar dengan tanggungjawab kepada diri sendiri, barulah dia faham betapa pentingnya dia bertanggungjawab untuk kehidupannya.

Seterusnya pentingnya bertanggungjawab dengan ibu bapanya kemudian kepada keluarganya, masyarakat dan agamanya.

Namun, realiti banyak orang tidak mampu melakukan apa-apa yang menjadi tanggungjawab dalam kehidupannya. Kita menjadi insan yang berjaya bukan kerana mengingat masa lalu kita, tapi kerana tanggung jawab dengan masa depan kita. Percayalah, kita akan menjadi insan yang berasa puas apabila kita seorang yang bertanggungjawab.

Tanggungjawab isteri kepada suami dan sebaliknya, tanggungjawab ketua kepada pekerjanya, tanggungjawab kepada pekerjaaan kita.

Ia harus dimulai dengan diri sendiri. Banyak tanggungjawab dipelajari dari waktu ke waktu dan ia disertai dengan pengalaman.

Percayalah, dengan menjadi seorang yang berani bertanggungjawab kita mampu untuk duduk di mana-mana ruang kehidupan.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak